SEJARAH TAMBUN

Pekan Tambun merupakan sebuah kawasan yang terletak di bandar Ipoh, Perak, Malaysia. Kawasan ini terkenal sebagai sebuah kawasan bekas lombong bijih timah, seterusnya berkembang sebagai pusat perdagangan, perniagaan, perindustrian dan pelancongan yang penting di Perak. Sebuah kawasan yang dikenali sebagai bandar baru Tambun telah dibina pada sekitar 1990. Antara kawasan berdekatan dengan bandar baru Tambun ialah Taman Canning, Ipoh Garden, Jalan Tambun, Jalan Harimau (Tiger Lane), Hospital Pantai Putri, Aeon serta pasaraya Tesco. Jalan di Tambun merupakan penghubung antara Bandar Ipoh dengan Tanjung Rambutan dan Ulu Kinta. Selain itu, Taman Perpaduan juga merupakan kawasan yang berhampiran dengan Tambun.

Di bandar Ipoh itu sendiri, terletak banyak kemudahan seperti Sekolah Menengah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Institut Penyelidikan Haiwan yang terbesar di Asia Tenggara, Pusat Latihan dan Penyelidikan Penyakit Ayam ASEAN, Mes Pegawai Kanan Polis dan lain-lain. Terdapat juga sebuah kem tentera iaitu Kem Syed Putra.

Malah, kini Tambun terkenal dengan taman tema air yang dikenali sebagai 'Lost World of Tambun', iaitu sebuah taman tema di bawah pengurusan Sunway Company atau Sunway City, yang semakin mendapat tempat di hati penduduk sekitar. Lokasi lain yang menarik adalah seperti Muzium Geologi dan Gua Tambun.